Thursday, November 28, 2013

Semangat dan Kipas




Assalamualaikum.


Semangat adalah satu perasaan rohani yang subjektif. Kau susah nak agak bila semangat tu akan tinggi dan bila semangat tu akan hilang macam air sirap selasih dalam plastik bocor. Sikit sikit hilang tanpa bagi peringatan kepada si peminum. Barangkali apabila sesuatu perkara yang juga subjektif terjadi, semangat yang tadinya subjektif juga terpalit sekali. Sama ada buruk atau baik.

Suatu hari bila aku bangun dengan semangat yang jatuh merudum tanpa sebab yang utuh, aku mula beri bermacam macam persoalan pada diri sendiri. Sepertibiasa sememangnya persoalan akan bermula dengan kenapa mengapa bagaimana apa dan lain lain lagi. Aku letak diri aku dalam dilema. Padahal sebelum tu tak ada pun jenis dilema yang sama yang pernah aku alami. Aku mula tertanya tanya apa yang aku corak semalam. Sama ada secantik batik yang dicanting oleh si pencanting Noor Arfa batik atau seburuk tangan aku yang mencorak buku nota ketika sedang dengar kuliah yang macam bagi ubat tidur.

Kadang kadang aku hilang dalam dilema. Murung. Depresi. Terasa macam tak ada yang elok dalam dunia ni. Terasa macam semua orang hilang dalam hidup aku. Terasa macam aku digantung tak bertali. Tanpa jawapan. Tanpa persoalan yang jelas memang sebetulnya sukar nak dapat jawapan. Dan masa itu aku terus bangkit meninggalkan katil yang penuh depresi, menuju ke sinki dan menyimbah air ke muka bak tiada lagi air pada esok hari. Di cermin sinki aku mula melihat wajah yang tak seberapa dan lagi beberapa percent nak cecah muka zombie. Masa itu aku tanya lagi diri sendiri kenapa dan mengapa. Refleksi wajah aku hanya mengejek. Gagal.

Jadi aku kembali ke bilik untuk bertapa di atas katil yang depresi tadi. Aku lihat ke atas. Nampak langit putih beserta kipas yang berpusing.

Apakah signifikan kipas? Aku tenung lama lama sampai mata aku naik juling, kepala pening. Jadi aku baring dan terus melihat kipas putih berhabuk tadi. Aku terlupa akan kewujudan kipas. Padahal kalau tak ada kipas aku akan mengamuk bak gorilla tak dapat pisang atau bak tarzan tak dapat jumpa Jane.

Penting jugak kipas ni. Dia gagah berputar. Tak kira lah kau kesah atau tak. Tak kiralah dia dah tua macam nak tercabut atau bunyi krek krek. Dia tak pedulikan habuk setebal satu inci. Janji tuan yang ada di bawahnya terasa angin putaran. Walaupun kadang kadang aku mengamuk sebab tak sejuk, angin tak kuat. Padahal salah diri sendiri yang malas lap kipas.

Di situ aku sedar. Kenapa aku nak sedih padahal aku manusia dengan fizikal yang sempurna. Lebih daripada mampu nak bergerak ke sana ke mari lebih lebih lagi kalau nak 'membeli belah tingkap'. Kipas tu lagi sedih tanpa kaki untuk berjalan. Dia cuma ada kaki untuk terus berputar je. Dia tak ada peneman. Malah tak ada siapa peduli melainkan kalau tuan dia dah tak rasa angin. Cuma kadangkala kipas rasa diri dia berharga sebab retis selalu guna untuk efek rambut mengerbang masa photoshoot, itu belakang cerita.

Jadi di situ aku buang kekusutan minda. Saat aku rasa semangat aku melayang-layang bak dandelion ditiup angin, aku perhatikan sekeliling, jadikan apa-apa yang utuh kewujudan dia sebagai satu refleksi untuk aku cari kembali semangat yang bersifat halimunan tadi. Mungkin kau akan berada dalam satu tahap yang semangat kau jatuh ke kaki lima, dipijak oleh pejalan kaki, tapi kau mana tahu daripada situ kau boleh bangkit balik dan gapai apa yang kau impikan?

Jadikan perkara buruk sebagai satu platform untuk membaiki diri, menambah inti ke dalam matlamat untuk mendapatkan semangat itu kembali. Bukan orang lain yang perlu tolak kau, tapi diri kau sendiri. Sokongan hanyalah sokongan, bukannya jadi seperti tukul yang mengetuk pahat. Kau bukan pahat, jadi kau tak perlu tukul sepanjang masa.

Percaya pada diri sendiri, usaha, tawakal. Jangan risau, sesiapa yang besar semangat dan usaha dia, InsyaAllah besar juga ganjaran dia.

Sekian, dari aku yang menyintai kipas dan menjadikan aircond sebagai skandal.



Untuk sesiapa yang ingin menaikkan semangat lagi, sila baca How A Pencil Become My Teacher? by Ayesyah Abdullah yang ditulis oleh salah satu rakan baik aku. Jangan risau, ayat cantik, power punyalah. Kawan siapa kan Ehem.


XOXO,
Aen.