Wednesday, March 18, 2015

TRIP : Phuket (2014) #1 : Tips & Persiapan




Aku sebenarnya agak lama biarkan blog mati sepi, kali ini aku rasa lebih baik aku tiup nyawa kembali. Makin lama makin kaku jari nak muntahkan isi.

Aku dan tiga orang rakan UKM dan juga emak dan seorang rakannya ke Phuket pada 7 Oktober 2014 yang lepas. Baru berkesempatan nak curah tips pada blog ini untuk dikongsikan pada engkorang semua. Harap korang dapat idea sikit sikit kalau nak travel ke Phuket. Dan. Tiga minggu lepas aku baru pulang dari Krabi, hewhew.

Jadi, update untuk Krabi menggunakan jalan darat itu mungkin lagi 3-4 bulan dari sekarang! Haha. Mereput terus.

Perkara pertama : Tiket pergi dan balik
Untuk ke Thailand, sama ada Phuket atau Krabi, atau mana-mana sahaja yang memerlukan anda ke Pulau, lebih baik katanya jika anda pergi pada waktu yang tak ramai pergi, iaitu Low Season, antara Mei ke Oktober. Kenapa? Sebab keadaan cuaca yang katanya tak mengizinkan. Bagi aku, sila redah je dengan penuh ilmu di dada, aku rasa okay je. Musim hujan dia lebih kurang Malaysia jugak. Pulak tu, tiket waktu Mei-Oktober ke Thailand agak murah, kalau tak percaya, nanti pergi check sendiri. Aku sendiri dapat tiket AirAsia KL-Phuket-KL sekepala siap insurans dan pilih tempat duduk RM210.

Boleh juga ke Phuket menaiki bas. Kau ambik bas atau keretapi ke Hatyai, dan dari Hatyai naik van mini berdesup ke Phuket. Ini aku buat masa bekpek ke Krabi baru baru ini. Harga? Murah sikit dari naik kapal terbang, biasalah tu. Ah itu cerita lain kali!

Perkara kedua : Cuaca
Memandangkan kau pilih low season untuk pergi, kau kena check cuaca bebetul untuk beberapa hari yang kau nak pergi tu (sebelum kau beli tiket kapal terbang, bas dan keretapi). Biasanya tepat jangkaan cuaca di sana. Jangan pula kecewa kalau dah sampai sana, dah terbeli trip ke pulau itu ini dan terbatal disebabkan cuaca (walaupun dapat duit balik). Kalau kau pergi peak season pun kau kena check jugak. Jangan konfiden sangat cuaca akan baik. Hujan panas ni tak menentu. Sediakan payung sebelum hujan kata orang dolu-dolu.

Perkara ketiga : Passport
Sekarang passport dah murah. RM200 untuk 5 tahun bermula 15 Januari 2015. Huntunglah deme. Aku dulu RM100 untuk 3 tahun. RM300 untuk 5 tahun. Ini pesanan biasa, pastikan passport ada lebih 6 bulan daripada tarikh pulang dari destinasi anda. Kalau tak, sila renew atau mungkin anda ditahan di airport atau sempadan ke destinasi.

Perkara keempat : Hotel
Ini kalau tak ada, sila bina setinggan cinta di kaki lima. Aku beli hotel dari Agoda.com. Cara bayaran mudah, boleh guna paypal. Nak daftar paypal pun senang je. Masukkan data bank yang paling kau guna (pastikan ada duit lah), dan setel. Login je paypal account setiap kali nak bayar. Setakat ni tak pernah paypal tipu, melainkan dia caj lebih RM2-RM4 je untuk setiap transaksi.

Lepastu kau bukak Agoda hari Jumaat, banyak hotel yang ada diskaun 50% daripada harga asal. Dan juga tawaran tawaran menarik hari Jumaat. Sebab tu aku suka book hotel hari Jumaat hihi. Aku dulu tinggal di Garden Phuket Hotel, Patong. Hotel ini sesuai untuk yang nak berjimat tapi pentingkan keselesaan dan kebersihan. Aku dapat harga RM300 untuk 3 bilik bersambung yang ada bilik air masing-masing. Jadi kalau bahagi 6 bersamaan dengan RM60 je untuk 2 malam! 3 star hotel. Bilik dia memang luas siap ada beranda lagi. Memang puas hati. Room service akan masuk dan bersihkan bilik pulak tu. Fall in love weh! Cuma haritu driver van susah nak cari hotel sebab dia tak biasa.

Kawasan hotel elok ambil yang berdekatan Patong, sebab berdasarkan research aku dari blog blog orang lain, area Patong agak selamat dari keganasan kongsi gelap. Dekat dengan night entertainment (Bangla Road, ehem) dan juga banyak sumber makanan halal.



Perkara kelima : Duit poket & bajet
Tukar duit siap siap dekat Malaysia. Masa aku pergi 100baht bersamaan RM10.80. Bawak duit lebih. Kalau kau ambil duit dari atm sana, kena caj RM10 ke RM15 entah. Aku lupa. Kau jangan jadi macam aku (nasib baik aku ada banker - mak aku - jadi aku agak selamat). Guna bajet sempit. Bayangkan RM500 merupakan bajet penuh termasuk penginapan, makanan dan pengangkutan. Tapi memula aku dan rakan-rakan bercadang nak melawat jelah tak beli apa-apa. Tapi kau tahu jelah kalau dah perempuan tu nafsunya 9, memang rambang mata jugak. Jadi untuk jimat, kitorang makan megi dan roti je dari 7E. Kekadang aku makan pancake sedap diorang. Mak aku berbelanja dekat makanan siap beli pad thai, jagung bakar, hewhew. Boleh buat bajet sempit tapi kau kena sedia duit lebih sikit untuk sebarang kemungkinan yang bakal terjadi, Iyalah, kau merancang, tu yang Agung kat atas sana tu yang menentukan. Boleh je terpesong dari rancangan.

Ini bajet untuk ke Phuket ikut kepala

Tiket kapal terbang pergi balik - RM210
Penginapan - RM60
Pengangkutan sepanjang berada di sana - RM50
Makan 3 hari 2 malam (yang ini sadis) - RM50
Pakej ke Phi Phi Island (beli dekat airport, aku menyesal sebab termakan pujuk rayu member ambik pakej dekat airport. Nanti aku cerita haha) - RM150 (naik large boat)
Baan Teelanka (rumah terbalik) - RM20
Phuket 3D Trickeye Museum - RM50
Massage dua kali : RM50
Lain lain tempat aku pergi macam pearl farm, jewelry - FOC ke aku lupa berapa harga. Eh? Fail lah!

Total expenses : RM640

Aku cadangkan sediakan duit lebih RM100 paling sikit untuk beli apa-apa yang kau nak. Sebab di Thailand, kau patut rasa makanan orang tu lebih!

Perkara keenam : Rancang tempat secara spesifik
Sediakan tempat mana nak pergi, kalau boleh, snap gambar tempat dan nama tempat tu sekali. Orang sana bukan faham sangat pronounciation kita. Kalau cakap inggeris tu, pastikan guna bahasa paling rendah sekali, kalau tak, memang merapu tempat yang dia bawak. Aku pernah kena sekali, tak sampai 5 minit terus blah dari tempat tu. Portuguese dia ingatkan Pot Tik. Zzzzzzz. Kalau sesekali nak rasa kau terer berbahasa inggeris, kat sini lah tempatnya haha.

Perkara ketujuh : Waktu solat
Untuk yang beragama Islam, sediakan siap siap. Sebab waktu solat sana awal sejam-dua jam. Pukul 5 dah masuk Subuh.

Perkara kelapan : Beli pakej di kawasan hotel
Ini untuk mengelakkan kau tertipu dan dapat pakej yang tak syok dekat airport. Jangan sesekali beli pakej dekat airport walau persuasive macam mana pun. Kalau tak, kau akan pakej big boat dengan harga yang sama atau lagi mahal dari speed boat. Yang tak bestnya naik big boat sebab lambat gila nak sampai ke destinasi, dan kau hanya ada sikit je masa (dalam 2-3 jam macam tu) untuk luangkan masa dekat destinasi. Macam aku, pergi Phi Phi Island. Tak puas, terus aku ke Phi Phi Island lagi sekali dari Krabi dan tebus balik kerugian tu.

Perkara kesembilan : Kenderaan
Boleh guna minibus untuk ke hotel. Harga 180baht ke Patong. Kalau ramai, boleh naik private van. 3500baht untuk kegunaan sehari. Jadi gunakan kenderaan ni untuk ronda satu bandar Phuket. Nak jalan-jalan satu Pekan Patong tu boleh naik tuk tuk speaker power. Harga 200baht sekali naik.

Perkara kesepuluh : Makanan
Aku tak nafikan makanan halal di Phuket tak sehebat di Krabi. Di Phuket, kalau jumpa restoran halal, sama ada harga mahal dan makanan sedap, atau harga murah makanan tak sedap. Tapi streetfoods dia tetap ada orang Thai Muslim yang jual. Kebanyakan yang Muslim boleh cakap Bahasa Melayu loghat ala-ala Kelantan. Lagi satu, bila ada dekat negara orang, baru kau sedar betapa bergunanya 7E dekat sana. Jangan risau, hampir setiap satu blok kedai ada 7E atau kedai ala-ala 7E 24jam. Senang nak cari raincoat etc.

Perkara kesebelas : Sim card dan akses kepada internet
Jejak je kaki ke Lapangan Terbang Phuket (HKT), ada satu booth True-H bukak dekat sana. Boleh dapatkan simcard free satu sorang, dan guna internetnya. Cuma kau kena reti setting internet tulah. Create je access point. Terus boleh guna. Internet sana memang superb. Laju gila. Topup 100 baht . Internet untuk seminggu, unlimited 99baht sahaja. Yang simcard free dekat airport tu aku rasa ikut nasib, tak sepanjang masa dia ada dekat situ.

Semoga ini jadi panduan kepada yang teringin nak ke Phuket buat kali pertama. Yang penting, kau berani dan jenis tak kisah untuk cuba benda baru. Biasalah ada perkara pahit dan manis bila jadi traveller. Pengalaman tu yang kau nak bawak balik dan jadikan sempadan. Maaf kalau ada yang kurang. Dah 5 bulan berlalu, ingat ingat lupa dah. Okay, adios!

Ps : Pergi Phuket untuk 3 hari 3 malam memang tak puas. Mungkin sebab nightlife dekat sana memang best. Kakakakaka kbai.


XOXO,
Aen

3 comments:

nurul syuhada said...

Sng dpt mknn halal x sana?

nurul syuhada said...

Sng dpt mknn halal x sana?

aensaari said...

Senang je :)