Sunday, March 9, 2014

Pray for MH370 : Simpati versus Empati



Assalamualaikum dan hai.

Aku terpanggil untuk tulis entri mengenai M370. Bukan untuk bersama menambah spekulasi yang sedia ada melimpah ruah. Bukan juga untuk menyampaikan berita terkini seperti Astro Awani. Bukan juga nak jadi FBI atau jurucakap MAS. Aku terpanggil untuk menulis buih-buih perkataan (words bubble) yang terlintas difikiran. Di mana aku ingin sentuh mengenai simpati dan empati.

Sebenarnya untuk tahu perbezaan simpati dan empati kau tak perlu baca blog aku pun. Tapi biar aku jelaskan mana tahu ada yang kurang jelas (barangkali tertutup hijab) atau mungkin konfius tak boleh nak beza dua benda alah yang nama dekat-dekat tu.

Simpati dan empati dua perkara yang jauh berbeza, walaupun 'si' ditendang lalu digantikan dengan 'e', ibarat perbezaan langit dan bumi, puteri raja dan dayang, raja dan hulubalang, dan aku dan engkau.

Simpati. Simpati hanyalah satu perkara yang kau rasa tanpa ada emosi.  Kau mampu beri simpati pada sesiapa sahaja. Kucing, burung, kereta, bahkan pada aku yang sedang belajar kursus perubatan. Merasa dan meluahkan simpati pada orang ibarat kau bersetuju yang dia patut berada dalam keadaan tu. Ibarat aku sang kancil yang ada dalam kandang harimau. Sang buaya berasa simpati pada aku kemudian tolong melepaskan aku. Apabila aku dilepaskan, kaki aku sudah berada dalam mulut buaya tadi. Kau nampak? Kau simpati tapi kau tetap tak betulkan keadaan.

Orang macam ni rasa simpati kerana jelas dengan keadaan si polan. Lepas tu mereka buat apa? Mereka tidak membantu, mereka bertindak meneruskan tradisi simpati mereka. Hanya lahir dari lidah tanpa berusaha untuk membetulkan keadaan. Sebagai contoh beria-ia mahu berdoa tapi hanya pada kata, hanya pada tulisan, lidah tak basah ketika berdoa dalam dan selepas solat.

Ganti simpati dengan empati. Stephen Covey sendiri ada tulis mengenai empati dalam buku The 7 Habits of Highly Effective People. Katanya orang yang teratur dalam kerjanya, mempunyai gaya pemikiran empati. Bermakna,  mereka bukan sekadar jelas dengan keadaan seseorang. Mereka faham keadaan seseorang dari segi literal, figuratif, dan juga emosi. Orang yang ada empati ini biasanya meletakkan diri dia dalam keadaan yang sama supaya dia tahu dia mampu mengubah keadaan itu. Letakkan diri dalam kasut dia bak kata omputeh.

Aku bagi contoh paling dekat perbezaan simpati dan empati. Dulu ada satu kes mengenai kanak-kanak yang mati didera dan dibunuh secara tragis. Gambarnya tersebar di blog-blog popular. Bukan itu sahaja, sejak fesbuk mula terkenal setiap gambar hotsetuf disebarkan dari satu akaun ke satu akaun yang lain. Orang yang simpati hanya jelas dengan keadaan tu, diucapkan pada lidah dan aksara setiap entri. Tetapi simpati mereka tak mampu halang mereka daripada berhenti sebarkan gambar yang mengaibkan kanak-kanak itu serta keluarganya. Ayat-ayat puitis mereka hanya mengaburi mata si pembaca supaya turut serta bersimpati dan menyebarkan hal itu.

Manakala orang yang ada rasa empati akan merasai keadaan keluarga si mangsa secara emosi. Mereka tahu betapa beratnya beban yang ingin dipikul untuk melupakan insiden tragis tadi. Jadi mereka mampu menghalang diri daripada terus sebarkan gambar tadi.

Kau faham apa maksud aku? Aku tak ada salahkan sesiapa dalam hal ini. Aku cuma menyampaikan apa yang aku rasa. Dan apa yang perlu kau lakukan, kalau kau mampu, tukar rasa simpati kepada empati. Hentikan spekulasi mengarut, paling kurang kalau dah tak boleh cakap benda baik, kau doa atas sejadah tutup mulut, ikat jari.

At least kau tak dapat dosa menyakitkan hati orang.

Jadi rakyat Malaysia atau secara umumnya jadi manusia yang sensitif dan prihatin. Jangan hanya pada kata-kata, tapi pada hati.

Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan tak kira apa jenis pengakhirannya sekalipun. This is my deepest condolence.

Ps : Berhenti jadi pakar matematik dan kaitkan surah dengan nombor yang berkaitan. Tak kisahlah betapa islamik dan romantisnya penyampaian kau, tetap khurafat. Trimas.


XOXO,
Aen

No comments: